MEMBELI DOA
"Maaf, puan. Saya tak ada duit dalam tangan." Saya senyum. Tapi wajahnya sedih.
Memang dari tadi saya perhatikan, dia berjalan dari meja ke meja. Tiada seorang pun yang membeli jualannya. Malah ada beberapa meja yang 'penghuninya' langsung tidak menghiraukannya.
"Tolonglah, dik. Beli sikit pun tak apa. Adik beli lepas tu bagilah pada sesiapa yang adik nak. Tolong lakukan jualan akak sikit je."
Saya serba salah. Dalam dompet memang tak ada duit langsung. Haih! Perangai buruk zaman berzaman yang susah betul saya nak ubah; selalu lupa tengok duit dalam dompet, paling malas beratur di ATM dan selalu tak keluarkan duit lebih.
"Kak, saya bukan tak nak beli. Tapi dalam dompet saya memang tak ada duit. Ini pun saya sedang tunggu suami. Dia ke tandas kejap. Nanti dia datang, insyaAllah saya beli," saya cuba memujuk.
Entah kenapa, kakak tadi enggan berganjak. Saya hairan juga. Meja-meja lain tadi, senang saja dia tinggalkan. Meja saya, macam susah betul.
Saya dah mula gelisah. Rasa bersalah sebenarnya.
"Dik, akak tak ada pendapatan lain. Mari sini pun tinggalkan anak-anak kecil di rumah mertua. Harap-harap selamat sajalah. Kalau ada pilihan, akak tak nak buat kerja-kerja menjual macam ni. Biar anak-anak depan mata. Akak nak cepat-cepat balik. Tapi jualan ni tak laku-laku dari semalam. Akak memang berharap dekat adik. Adik beli satu pun, akak dah sangat terima kasih dah."
Aduhai... Saya memang kalah bila sebut 'anak' ni. Saya selongkar beg tangan sekali lagi. Mana tahu ada duit terselit mana-mana.
Memang tak ada.
Saya tengok dia. Senyum lemah. Tak tahu nak cakap apa dah. Dia akhirnya mengalah. Saya perasan matanya bergenang. Dia tarik nafas panjang, melihat kiri dan kanan. Kemudian perlahan-lahan dia berlalu ke kedai sebelah.
Saya perhatikan saja ke mana dia pergi. Hampir meleleh air mata saya. Dalam hati tak sudah-sudah berdoa supaya suami cepat sampai.
Tiba-tiba bahu saya disentuh lembut. Saya toleh. Suami sedang tersenyum. Oh! Penyelamat sudah datang!
"Sayang ada duit?"
"Ada." Suami tak cakap banyak, terus hulurkan berapa yang saya minta.
Mata saya melingas mencari kakak tadi. Eh! Mana dia? Saya bertanya pada beberapa pekerja kedai. Mereka pun sama-sama tolong carikan.
"Tu dia, kak! Dekat kedai depan."
Saya terus berjalan laju ke kedai tersebut. Kakak tadi sedang cuba menjual barangnya pada pelanggan-pelanggan di situ. Wajahnya masih sedih. Jalannya masih perlahan.
"Kak!" Dia menoleh. Mukanya sedikit terkejut. Mungkin dia tak sangka saya akan cari dia balik.
"Suami saya dah datang. Saya dah janji dengan akak akan beli bila ada duit, kan?" Saya senyum. Dia senyum. Jelas lega mukanya.
Tak berlengah, saya beli beberapa bungkus.
"Ya Allah, alhamdulillah... Terima kasih, dik. Semoga murah rezeki adik. Sentiasa murah rezeki. Semoga Allah mudahkan semua urusan. Semoga Allah bagi apa saja yang adik minta di dunia dan akhirat. Semoga adik terus sihat ..."
Dia terus berdoa dengan doa yang agak panjang. Dada saya sebak.
"Terima kasih, kak." Kami berpelukan dan berpisah.
Apa saya nak buat dengan keropok-keropok ni? Di rumah pun banyak lagi tak goreng.
Saya terus ke restoran pertama yang saya makan tadi.
"Encik, ambillah keropok ni. Goreng saja dan jamu pada pelanggan. Nak jual pun tak apa. Saya halalkan."
Pekerja kedai tadi terpinga-pinga. Saya ketawa dan terus berjalan ke kereta. Suami sedang menunggu.
Saya teringat semula doa-doanya. Semudah dan semurah itu saya 'membeli doa'. Rupa-rupanya setiap hari, banyak doa yang 'terjual' di keliling saya, tapi saya yang tak nampak dan tak perasan.
Inilah 'BISNES' paling untung, dunia dan akhirat. Sistem Barter yang langsung tak merugikan sesiapa.
Nampak seperti kakak tadi yang untung sebab dapat jual keropoknya. Hakikatnya, saya yang lebih untung kerana saya dapat doanya ...
Wallahu 'alam.
#inspirasikakatie
#iniLegacykita
No comments:
Post a Comment